Arkib Kategori: Uncategorized

Perangkap Zon Selesa

Keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan Filipina tempoh hari membuat otak kepalabola terpaksa gostan sedikit untuk melihat gambaran yang lebih besar mengenai senario ini. Kalau dulu , Filipina merupakan perlawanan ” gerenti menang ”  dengan jaringan yang mungkin melebihi lima gol. Mengapa sekarang kita terpaksa bertungkus lumus untuk seri? Dan bagaimana pula mereka boleh berada di atas kita di dalam ranking FIFA? Dengan menggunakan ” lojik kampung ” saja pun kita boleh mengatakan bahawa usaha yang mereka lakukan telah membuahkan hasil manakala usaha kita pula masih tiada kepastiannya.

Salah satu kemungkinan ialah bolasepak kita terperangkap di dalam” zon selesa ”  dengan melakukan perkara-perkara yang sama  tanpa melihat pendekatan pendekatan baru untuk melakar kejayaan. Hakikatnya dunia bolasepak sekarang sangat berbeza dan cara lama sememangnya tidak berkesan.

Saintis terkenal dan pemenang Anugerah Nobel, Albert Einstein pernah berkata: ” Tidak Siuman ialah bila kita membuat perkara yang sama berulang-ulang kali dan megharapkan hasil yang berbeza”. (Insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results). Ungkapan di atas adalah antara yang paling popular pernah disebut oleh Einstein. Kalau kita lihat dari bahasa perbualan kedai kopi ia berbunyi lebih kurang begini: “Kalau setiap tahun kita tanam pisang, janganlah ditanya bila durian kita nak berbuah!”

Situasi ini banyak memerangkap individu-individu, kumpulan-kumpulan, syarikat-syarikat serta organizasi-organizasi besar. Senario bolasepak kita pun tidak terlepas dari fenomena ini.  Kita telah melihat dan mengalami situasi2 dan insiden2 yang hampir serupa untuk sekian lama, kita seakan-akan sudah dapat menjangka apa hasil/kesudahan yang akan berlaku!  Tiada salahnya kita berada di dalam zon selesa, cuma, akibatnya ialah kita tidak akan menunjukkan sebarang peningkatan.

Jika kita perhatikan apa yang berlaku didalam bolasepak Malaysia, banyak amalan dan  pendekatan atau pemikiran-pemikiran lama (seperti era amator dahulu!) masih digunakan sebagai teras operasi bolasepak semasa. Prestasi pasukan kebangsaan selalunya menjadi kayu pengukur kepada kemajuan bolasepak kita. Jika penuntun/peminat  tidak berpuas hati, pasukan kebangsaan akan menerima habuan melepaskan kemarahan.  Realitinya, prestasi pasukan kebangsaan mencerminkan apa yang berlaku di dalam sistem bolasepak kita. Perbualan saya dengan beberapa bekas pemain, jurulatih dan pegawai persatuan dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai zon selesa ini. Antara pendapat-pendapat yang mereka berikan :

1. PERSATUAN NEGERI: Budaya di kebanyakan Persatuan Bolasepak negeri masih sama. Permainan politik masih ketara. Ada orang yang memegang jawatan terlalu lama yang membawa kepada  sindrom ” carry-on” tanpa mencuba cara baru. Kebanyakan dari mereka adalah “orang popular” dan bukan yang arif tentang bolasepak.

2. LATIHAN: Cara pengendalian latihan tidak mempunyai pendekatan baru. Amalan kita sekarang tidak mampu untuk menyerlahkan potensi maksima mana2 pemain. Aplikasi sains sukan tidak diperkenalkan, malah ada yang menolak langsung….( contoh alasan: “kita nak main bola….bukan nak angkat besi….!!!!) Penekanan kepada pembangunan psikologi pemain tidak dititikberatkan. Ketidakseimbangan antara fizikal dan mental pemain boleh menyebabkan kebosanan (burnout) dan juga persembahan hambar dan tidak konsisten dari pemain-pemain. Ada seorang bekas jurulatih mengatakan ” hanya satu saja yang berbeza….dulu tak ada jurulatih penjaga gol……sekarang ada…yang lain sama saja!”

3. PROGRAM PEMBANGUNAN: Sejarah program pembangunan kita memang telah lama. Program MSSM dari dahulu lagi melahirkan pemain-pemain berkaliber melalui pertandingan-pertandingan antara negeri bagi umur B12.,B15,B18 dan Piala Burnley (Piala Razak). Jurulatih pasukan2 yang dipanggil “combined schools” ini tidak susah kerja mereka. Ini kerana pemain-pemain muda dahulu yang masuk ke pasukan  sudahpun mempunyai kemahiran dan kebolehan yang sangat tinggi hasil dari kegigihan berlatih bersendirian.  Teknik dan kecergasan mereka tinggi. Jadi tugas jurulatih dahulu banyak memberi fokus kepada persefahaman bermain sebagai satu pasukan.

- CABARAN sekarang ialah, kualiti yang ada pada pemain-pemain muda  tidak lagi seperti dahulu, kerana budaya berlatih bersendirian sebagai tambahan sudah tidak ada lagi. Kemahiran, kebolehan serta kecergasan individu amat rendah. APA YANG TIDAK KENA ialah pendekatan  program atau  jurulatih pembangunan sekarang.  Caranya masih seperti dahulu, iaitu tertumpu kepada melatih pemain-pemain untuk bermain sebagai satu pasukan.  Bak kata pepatah “belum duduk sudah berlunjur” – ini bermakna, cuba membina satu pasukan dengan pemain-pemain yang belum kukuh asas-asas bolasepak mereka. – Jika sentuhan pertama tidak kemas , kawalan bola sentiasa liar, hantaran jauh tidak tepat, penguasaan bola (ball mastery) lemah, mudah hilang bola dan “tackel” yang tidak jitu, bagaimana mampu untuk menjadi ahli pasukan yang baik? Lihat model program pembangunan Ajax Amsterdam dan juga Manchester United – keselesaan dengan bola adalah fokus utama mereka.

4. MENTALITI PEMAIN: Banyak pengurus-pengurus pasukan sekarang yang mengeluh tentang sikap dan mentaliti yang ditunjukkan oleh pemain-pemain mereka. Walaupun bertaraf “profesional” kebanyakan besar pemain-pemain terus bersikap amator . Antara keluhan-keluhan pengurus ialah pemain-pemain menganggap dengan terdaftarnya nama mereka dalam skuad, mereka kira mereka sudah berjaya. Tiada usaha lain dilakukan selain dari datang latihan dan mengharapkan diturunkan dalam kesebelasan utama – sama seperti zaman amator dulu.

Salah pemain? Tidak sepenuhnya. Budaya di Malaysia ialah di mana persatuan bolasepak tidak  memantau pemain-pemain di luar waktu latihan/perlawanan. Pemain-pemain menjalani kehidupan seharian mereka tanpa sebarang panduan atau rujukan. Setahu saya, tidak pernah ada sebarang program pendidikan atau bimbingan untuk pemain-pemain profesional. Ramai pemain-pemain yang tidak faham maksud “profesional” sepenuhnya selain dari dibayar untuk bermain. Ramai juga yang tidak memahami isi kandungan kontrak mereka, serta peraturan peraturan FAM mengenai status pemain dan sebagainya.

5.FAM: Sebagai ahli gabungan FIFA, sudah tentu FAM akur sepenuhnya dengan statut FIFA. Sebagai contoh, jawatan-jawatan kuasa yang ditubuhkan oleh FAM, hampir semuanya adalah mengikut statut FIFA, kecuali yang tidak berkenaan sahaja. Itulah yang sepatutnya. Tujuan FIFA ialah untuk memastikan keseragaman amalan/operasi di kalangan ahli-ahlinya.

Apa yang tidak terkandung di dalam statut FIFA ialah KUALITI perlaksanaan garispanduan yang diberikan. Itu terletak sepenuhnya di atas bahu negara  ahli. Selepas setiap mesyuarat Kongres atau Exco atau JK, keputusan akan dilepaskan kepada sekretariat FAM untuk dilaksanakan. Di sinilah banyak timbulnya permasalahan dan juga cabaran kerana ada kalanya apa yang dibincangkan di dalam mesyuarat dan isu-isu perlaksanaan adalah berbeza. Bukan sahaja ahli-ahli majlis FAM sentiasa berubah-ubah, kakitangan sekretariat pun begitu juga. Dicampur pula dengan  kesibukan kakitangan sekretariat yang terpaksa memastikan liga berjalan lancar dan juga supaya program pasukan kebangsaan tidak terbantut.  Akhirnya, apa yang berlaku ialah tindakan yang diambil ialah dengan melakukan perkara yang selesa dilakukan tahun demi tahun, jadi hasil yang didapati pun hampir sama tahun demi tahun.

 

Kelima-lima maklumbalas di atas adalah antara contoh-contoh bagaimana sistem bolasepak kita terperangkap di dalam zon selesa. Tidak salahnya berada di dalam zon selesa kerana ia memberikan kita kestabilan, lebih keyakinan serta kesinambungan. Dalam konteks mencari kemajuan dan kejayaan, zon selesa pula merupakan musuh utama. Kita perlu keluar dari tarikan zon selesa dan menerobos dengan mencari pendekatan-pendekatan baru yang lebih sesuai. Menjadi tanggungjawab semua yang terlibat dalam sistem bolasepak Malaysia untuk membebaskan kita dari belenggu ini dan inisiatif pertama perlulah dimulakan oleh FAM.

 

 

“What Got You Here, Won’t Get You There” – Formula Kejayaan Dahulu Belum Pasti Akan Membawa Kejayaan Seterusnya

Setiap kali isu-isu mengenai cabaran bolasepak Malaysia diperbincangkan, kita tidak boleh lari daripada mendengar luahan perasaan terhadap “orang-orang besar”  atau ahli-ahli jawatan kuasa tertinggi di FAM.

Jika kita perhatikan dan menilai betul-betul barisan AJK yang dimaksudkan, kita akan mendapati bahawa mereka semua ini terdiri daripada orang-orang yang berjaya dan berpengaruh. Mereka dibawa masuk/dipilih berdasarkan kejayaan mereka, reputasi mereka, “track record” mereka dan keyakinan yang mereka boleh memikul tanggungjawab yang diberikan.

Saya  positif yang mereka masuk ke FAM dengan niat murni serta semangat yang tinggi untuk memajukan lagi sukan bolasepak negara. Saya juga pasti tiada di antara mereka yang berniat di sebaliknya.

Jadi, mengapa dengan begitu ramai orang-orang berjaya di FAM, persatuan itu masih lagi tidak mampu untuk menunjukkan prestasi keberkesanan yang tinggi?

Di Dale Carnegie Training, saya kerap mengendalikan bengkel “What Got You Here, Won’t Get You There” untuk orang yang berjaya di korporat, untuk memastikan mereka terus berjaya dan tidak terperangkap di dalam kejayaan mereka sendiri. Maksudnya disini, usaha gigih dan juga cara yang sebelum ini telah menghasilkan kejayaan bagi mereka, sekarang ini tidak lagi bersesuaian, atau tidak akan memastikan kejayaan, kerana cabaran, situasi, interaksi dan persekitaran, semuanya berbeza.

Di dalam proses mengejar kejayaan, tanpa disedari, telah terbina tabiat-tabiat atau amalan-amalan pada orang-orang yang berjaya ini, yang dahulunya adalah positif, tetapi didalam konteks baru, merupakan ciri-ciri negatif.  Bengkel yang dimaksudkan, membolehkan para peserta untuk menilai diri mereka sendiri serta mempelajari, pendekatan-pendekatan yang boleh di gunakan, untuk mengatasi masaalah yang dihadapi.

Mengikut pemerhatian saya, ini juga berlaku di FAM.  Orang-orang yang berjaya sentiasa akan membawa” budaya berjaya” mereka kemana-mana sahaja. Saya tahu mereka kerja kuat, sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti bolasepak kita. Mereka juga seperti kita, ghairahkan bolasepak. Mereka juga sedih melihat bolasepak kita tenggelam timbul. Kalau ada yang tidak kena atau pun yang negatif pada usaha dan komitmen mereka, ianya berlaku di luar kesedaran mereka.

Pihak FAM perlu mencari jalan untuk mengatasi “sindrom orang berjaya” ini supaya setiap interaksi, usaha serta sumbangan mereka ini tidak di salah ertikan oleh kakitangan-kakitangan FAM dan juga komuniti bolasepak Malaysia. Sekiranya tidak, keberkesanan sistem pengurusan bolasepak Malaysia akan terbantut dan segala perancangan yang dilakarkan sukar untuk menjadi kenyataan.

kepalabola: ada antara 21 tabiat negatif utama yang terbina tanpa disedari apabila seseorang itu semakin berjaya.

Hak Bersuara-Nik Ahmad-Bekas Pengadil

Hak Bersuara ialah paparan yang memberi peluang kepada ahli komuniti bolasepak Malaysia yang mendapat hak (earned the right) melalui pengalaman luas, pembelajaran, kajian atau kerjaya mereka, untuk memberi input dan pandangan bernas.

NIK AHMAD HJ YAAKUB

1. PENCAPAIAN:

i )  FIFA World Cup, 2002, Japan/Korea – Koordinator Pengadil

ii) FIFA Youth World Cup, 1997,  Kuala Lumpur

iii) FIFA U16, 1995 ,Ecuador

iv) FIFA Futsal, 1996, Spain

v)  Ketua Jabatan Pengadil, AFC, 2000 – 2003

2. KOMEN SENARIO PENGADIL SEKARANG:

Perkembangan secara keseluruhan semakin perlahan. Kita tidak berjaya mengekalkan kesinambungan pembangunan pengadil kita. Sebagai contoh, selepas daripada Subkhiddin, kita tidak ada lagi pengadil yang boleh dilonjakkan ke peringkat Asia.

3. APA YANG PATUT KITA CAPAI?

Kita sepatutnya mempunyai 2 – 3 orang pengadil di dalam kumpulan pengadil elit Asia pada setiap masa.

4. SATU CADANGAN UNTUK KEMAJUAN:

Mulakan lebih awal. Sekarang, program untuk pengadil bermula di persatuan negeri. Ini terlalu lewat kerana kebanyakannya bermula pada usia lebih 20 tahun. Kita patut bermula di sekolah lagi, kemudian disusuli di peringkat IPT dan juga di kelab-kelab. Ini bermakna bila mereka tiba di program pembangunan pengadil di persatuan negeri dan seterusnya FAM, pengetahuan, kemahiran dan pendedahan mereka sudahpun luas. Ini akan memastikan pengadil-pengadil yang mencapai taraf kebangsaan adalah mereka yang betul-betul berkualiti.

Siapa yang Men”diagnosis” Bolasepak Kita?

Bayangkan kalau kita tidak sihat, pergi jumpa doktor dan dia terus berkata, ” Saya rasa kamu ni mengidap penyakit…………” tanpa melakukan sebarang pemeriksaan perubatan. Apa perasaan kita? Sudah pasti kita tidak akan berpuas hati dan mungkin membuat pertimbangan untuk berjumpa doktor yang lain pula. Harapan kita ialah doktor tadi melakukan satu “check-up” atau “diagnosis” yang terperinci, sebelum dia memberitahu apa penyakit yang kita hidapi.

Analogi di atas, adalah sama dengan apa yang sedang berlaku dengan senario bolasepak Malaysia sekarang ini. Komuniti bolasepak Malaysia sebenarnya tidak sahih, apa sebenarnya yang membelenggu sukan kesayangan kita. Ini dapat kita lihat setiap hari,bila pihak-pihak yang terlibat dengan bolasepak akan cepat menuding jari kepada pihak yang lain, apabila isu kualiti bolasepak negara ditimbulkan. Sebagai contoh, FAM akan mengatakan kelemahan terletak pada persatuan negeri dan juga sebaliknya. Jurulatih tidak berpuashati dengan pemain dan sebaliknya. Penuntun, media, pengadil dan sekolah pun kena. Jika kita perhatikan dengan betul-betul, “blame game” atau tuding-menuding ini memang sudah lama dimainkan. Kita semua pernah dan akan terus dikaitkan dari masa ke semasa sebagai penyumbang kepada kemelut bolasepak Malaysia.

Kita kembali kepada analogi doktor di atas. Dia perlu melakukan “diagnosis” mengikut prosedur yang tepat supaya dia dapat mengesahkan/mengsahihkan penyakit yang dihidapi. Dengan ini, rawatan atau ubat dapat diberikan dengan tepat. Hasilnya, kesan penyakit dapat diubati dan punca masalah akan ditangani.

Jadi, bolasepak Malaysia berada di dalam situasi yang sama. Satu prosedur “diagnosis” yang terperinci diperlukan( supaya, kita dapat “pin down” permasalahan sebenar) agar kita senang memahami masaalah dan mencari jalan penyelesaian.

Mengikut pengalaman dan apa yang mampu saya imbas kembali, belum pernah ada satu usaha secara terperinci dan komprehensif untuk mencari dan mengenalpasti cabaran sebenar yang dihadapi bolasepak Malaysia. Sekali-sekala ada di anjurkan mesyuarat, bengkel, seminar, brainstorming dsb dengan niat yang dimaksudkan. Kalau tak silap saya, jurulatih England sekarang, Roy Hodgson, pernah berceramah di salah satu acara yang telah dianjurkan. Saya juga pernah menghadiri beberapa bengkel, perbincangan yang akhirnya tiada sebarang tindakan susulan.

Hakikatnya, cabaran yang dihadapi oleh bolasepak kita bukannya kecil. Ianya tidak boleh ditangani oleh sebilangan kecil ahli komuniti bolasepak Malaysia sahaja. Jadi satu usaha yang serius, bersepadu, komprehensif serta melibatkan berbagai-bagai pihak perlu dilakukan. Jadi, usaha untuk melakukan “diagnosis” ke atas bolasepak Malaysia perlulah dilakukan dengan kadar segera, agar jalan penyelesaian boleh dicari dengan secepat mungkin.

Pernah saya ajukan perkara ini ketika bertugas di FAM dulu tetapi tidak mendapat sokongan. Mungkin saya gagal meyakinkan mereka atau pun agenda sewaktu itu adalah berbeza.

Banyak pihak ketika ini yang boleh tampil dan memulakan usaha ini berdasarkan kepakaran dan sumber yang mereka ada. Yang paling jelas ialah pihak universiti atau Institusi Pengajian Tinggi. Mereka mempunyai program Sains Sukan hingga ke peringkat Sarjana dan juga PhD.  Kita semua tahu yang aktiviti utama program pengajian pasca siswazah ialah melakukan kajian. Jadi mereka mempunyai pakar-pakar yang memang arif tentang “diagnosis” atau “problem analysis”.

Kita bukan inginkan satu kajian ilmiah atau akademik, tetapi satu analisa realistik yang boleh  menjelaskan pada kita empat persoalan di bawah:-

1. Apakah masaalah sebenar yang dihadapi?

2. Apakah punca-punca kepada masaalah?

3. Apakah antara jalan-jalan penyelesaiannya?

4. Apakah jalan penyelesaian terbaik?

Jika diperhatikan, persoalan-persoalan diatas, perlu ditangani satu demi satu. Sekarang, kita masih belum berupaya menjawab soalan yang pertama, dan ini bermakna kita tidak akan mampu untuk menangani tiga soalan berikutnya.

Kita tahu, banyak usaha sedang dilakukan sekarang untuk meningkatkan kualiti bolasepak Malaysia dan kita tetap menyokong. Ada pendekatan yang lebih berkesan – menjimatkan masa, tenaga, wang  dan juga lebih fokus – kearah merungkai kemelut bolasepak Malaysia.

kepalabola:
Pengalaman kepalabola berkhidmat dengan badan korporat dan juga sebagai perunding latihan, memang biasa dengan proses “problem analysis” dan percaya, ia juga boleh di applikasikan ke atas bolasepak Malaysia.

Skop kepalabola

Selamat bertemu di blog kepalabola !

Blog ini ialah satu inisiatif  untuk mewujudkan platform perbincangan yang positif mengenai bolasepak Malaysia

Semua orang yang terlibat dengan sukan bolasepak di Malaysia, tak kira samada kita pemain, jurulatih, pengurus, pengadil, peminat, penonton atau mana cara penglibatan sekalipun, jika kita ada kena mengena dengan bolasepak, blog ini sesuai untuk kita.

Saya yakin, dengan pengalaman penglibatan saya di dalam kancah bolasepak Malaysia, blog ini mampu untuk mewujukan perbincangan-perbincangan dari sudut yang jarang-jarang diperkatakan mengenai Bolasepak Malaysia.

Paparan dan ciri-ciri untuk berinteraksi di blog ini akan di tingkatkan dari masa ke semasa.

Diharapkan blog baru ini tidak dibandingkan dengan nama-nama besar blog sukan di Malaysia seperti Loose Cannon, Jai Ho , Hareshdeol atau Sukan 1Mas.

Sokongan dan dorongan dari komuniti bolasepak Malaysia dialu-alukan demi kebaikan kita bersama.

Terima Kasih.

Dengan semangat tinggi,

Rosli Hussein

__________________________________________________________________

kepalabola

Isu-isu dan perbincangan-perbincangan di dalam blog ini, dalam konteks pembangunan bolasepak di Malaysia, ialah bertujuan:

“Membangunkan PEMIKIRAN DAN SIKAP POSITIF ,di kalangan semua pihak yang terlibat dengan bolasepak di Malaysia”.

Empat pendekatan/semangat utama yang akan ditekankan di blog ini ialah:

  • memaksimakan kebolehan, pengetahuan dan usaha kita.
  • mengajak, mendorong serta membantu orang lain memaksimakan kebolehan, pengetahuan dan usaha mereka.
  • sentiasa menjaga maruah serta memertabatkan sukan bolasepak itu sendiri.
  • sentiasa bertindak dengan cara yang akan meningkatkan mutu bolasepak di malaysia

Harapan kita ialah dengan mempunyai satu masyarakat bolasepak Malaysia yang berfikiran serta bersikap positif, ia akan menjadi satu pemangkin kearah mengembalikan imej bolasepak Malaysia sebagai satu kuasa di Asia.

Kita semua perlu mempunyai kepalabola!

Rosli Hussein

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.