Setiap kali isu-isu mengenai cabaran bolasepak Malaysia diperbincangkan, kita tidak boleh lari daripada mendengar luahan perasaan terhadap “orang-orang besar” atau ahli-ahli jawatan kuasa tertinggi di FAM.
Jika kita perhatikan dan menilai betul-betul barisan AJK yang dimaksudkan, kita akan mendapati bahawa mereka semua ini terdiri daripada orang-orang yang berjaya dan berpengaruh. Mereka dibawa masuk/dipilih berdasarkan kejayaan mereka, reputasi mereka, “track record” mereka dan keyakinan yang mereka boleh memikul tanggungjawab yang diberikan.
Saya positif yang mereka masuk ke FAM dengan niat murni serta semangat yang tinggi untuk memajukan lagi sukan bolasepak negara. Saya juga pasti tiada di antara mereka yang berniat di sebaliknya.
Jadi, mengapa dengan begitu ramai orang-orang berjaya di FAM, persatuan itu masih lagi tidak mampu untuk menunjukkan prestasi keberkesanan yang tinggi?
Di Dale Carnegie Training, saya kerap mengendalikan bengkel “What Got You Here, Won’t Get You There” untuk orang yang berjaya di korporat, untuk memastikan mereka terus berjaya dan tidak terperangkap di dalam kejayaan mereka sendiri. Maksudnya disini, usaha gigih dan juga cara yang sebelum ini telah menghasilkan kejayaan bagi mereka, sekarang ini tidak lagi bersesuaian, atau tidak akan memastikan kejayaan, kerana cabaran, situasi, interaksi dan persekitaran, semuanya berbeza.
Di dalam proses mengejar kejayaan, tanpa disedari, telah terbina tabiat-tabiat atau amalan-amalan pada orang-orang yang berjaya ini, yang dahulunya adalah positif, tetapi didalam konteks baru, merupakan ciri-ciri negatif. Bengkel yang dimaksudkan, membolehkan para peserta untuk menilai diri mereka sendiri serta mempelajari, pendekatan-pendekatan yang boleh di gunakan, untuk mengatasi masaalah yang dihadapi.
Mengikut pemerhatian saya, ini juga berlaku di FAM. Orang-orang yang berjaya sentiasa akan membawa” budaya berjaya” mereka kemana-mana sahaja. Saya tahu mereka kerja kuat, sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan kualiti bolasepak kita. Mereka juga seperti kita, ghairahkan bolasepak. Mereka juga sedih melihat bolasepak kita tenggelam timbul. Kalau ada yang tidak kena atau pun yang negatif pada usaha dan komitmen mereka, ianya berlaku di luar kesedaran mereka.
Pihak FAM perlu mencari jalan untuk mengatasi “sindrom orang berjaya” ini supaya setiap interaksi, usaha serta sumbangan mereka ini tidak di salah ertikan oleh kakitangan-kakitangan FAM dan juga komuniti bolasepak Malaysia. Sekiranya tidak, keberkesanan sistem pengurusan bolasepak Malaysia akan terbantut dan segala perancangan yang dilakarkan sukar untuk menjadi kenyataan.
kepalabola: ada antara 21 tabiat negatif utama yang terbina tanpa disedari apabila seseorang itu semakin berjaya.
