Keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan Filipina tempoh hari membuat otak kepalabola terpaksa gostan sedikit untuk melihat gambaran yang lebih besar mengenai senario ini. Kalau dulu , Filipina merupakan perlawanan ” gerenti menang ” dengan jaringan yang mungkin melebihi lima gol. Mengapa sekarang kita terpaksa bertungkus lumus untuk seri? Dan bagaimana pula mereka boleh berada di atas kita di dalam ranking FIFA? Dengan menggunakan ” lojik kampung ” saja pun kita boleh mengatakan bahawa usaha yang mereka lakukan telah membuahkan hasil manakala usaha kita pula masih tiada kepastiannya.
Salah satu kemungkinan ialah bolasepak kita terperangkap di dalam” zon selesa ” dengan melakukan perkara-perkara yang sama tanpa melihat pendekatan pendekatan baru untuk melakar kejayaan. Hakikatnya dunia bolasepak sekarang sangat berbeza dan cara lama sememangnya tidak berkesan.
Saintis terkenal dan pemenang Anugerah Nobel, Albert Einstein pernah berkata: ” Tidak Siuman ialah bila kita membuat perkara yang sama berulang-ulang kali dan megharapkan hasil yang berbeza”. (Insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results). Ungkapan di atas adalah antara yang paling popular pernah disebut oleh Einstein. Kalau kita lihat dari bahasa perbualan kedai kopi ia berbunyi lebih kurang begini: “Kalau setiap tahun kita tanam pisang, janganlah ditanya bila durian kita nak berbuah!”
Situasi ini banyak memerangkap individu-individu, kumpulan-kumpulan, syarikat-syarikat serta organizasi-organizasi besar. Senario bolasepak kita pun tidak terlepas dari fenomena ini. Kita telah melihat dan mengalami situasi2 dan insiden2 yang hampir serupa untuk sekian lama, kita seakan-akan sudah dapat menjangka apa hasil/kesudahan yang akan berlaku! Tiada salahnya kita berada di dalam zon selesa, cuma, akibatnya ialah kita tidak akan menunjukkan sebarang peningkatan.
Jika kita perhatikan apa yang berlaku didalam bolasepak Malaysia, banyak amalan dan pendekatan atau pemikiran-pemikiran lama (seperti era amator dahulu!) masih digunakan sebagai teras operasi bolasepak semasa. Prestasi pasukan kebangsaan selalunya menjadi kayu pengukur kepada kemajuan bolasepak kita. Jika penuntun/peminat tidak berpuas hati, pasukan kebangsaan akan menerima habuan melepaskan kemarahan. Realitinya, prestasi pasukan kebangsaan mencerminkan apa yang berlaku di dalam sistem bolasepak kita. Perbualan saya dengan beberapa bekas pemain, jurulatih dan pegawai persatuan dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai zon selesa ini. Antara pendapat-pendapat yang mereka berikan :
1. PERSATUAN NEGERI: Budaya di kebanyakan Persatuan Bolasepak negeri masih sama. Permainan politik masih ketara. Ada orang yang memegang jawatan terlalu lama yang membawa kepada sindrom ” carry-on” tanpa mencuba cara baru. Kebanyakan dari mereka adalah “orang popular” dan bukan yang arif tentang bolasepak.
2. LATIHAN: Cara pengendalian latihan tidak mempunyai pendekatan baru. Amalan kita sekarang tidak mampu untuk menyerlahkan potensi maksima mana2 pemain. Aplikasi sains sukan tidak diperkenalkan, malah ada yang menolak langsung….( contoh alasan: “kita nak main bola….bukan nak angkat besi….!!!!) Penekanan kepada pembangunan psikologi pemain tidak dititikberatkan. Ketidakseimbangan antara fizikal dan mental pemain boleh menyebabkan kebosanan (burnout) dan juga persembahan hambar dan tidak konsisten dari pemain-pemain. Ada seorang bekas jurulatih mengatakan ” hanya satu saja yang berbeza….dulu tak ada jurulatih penjaga gol……sekarang ada…yang lain sama saja!”
3. PROGRAM PEMBANGUNAN: Sejarah program pembangunan kita memang telah lama. Program MSSM dari dahulu lagi melahirkan pemain-pemain berkaliber melalui pertandingan-pertandingan antara negeri bagi umur B12.,B15,B18 dan Piala Burnley (Piala Razak). Jurulatih pasukan2 yang dipanggil “combined schools” ini tidak susah kerja mereka. Ini kerana pemain-pemain muda dahulu yang masuk ke pasukan sudahpun mempunyai kemahiran dan kebolehan yang sangat tinggi hasil dari kegigihan berlatih bersendirian. Teknik dan kecergasan mereka tinggi. Jadi tugas jurulatih dahulu banyak memberi fokus kepada persefahaman bermain sebagai satu pasukan.
- CABARAN sekarang ialah, kualiti yang ada pada pemain-pemain muda tidak lagi seperti dahulu, kerana budaya berlatih bersendirian sebagai tambahan sudah tidak ada lagi. Kemahiran, kebolehan serta kecergasan individu amat rendah. APA YANG TIDAK KENA ialah pendekatan program atau jurulatih pembangunan sekarang. Caranya masih seperti dahulu, iaitu tertumpu kepada melatih pemain-pemain untuk bermain sebagai satu pasukan. Bak kata pepatah “belum duduk sudah berlunjur” – ini bermakna, cuba membina satu pasukan dengan pemain-pemain yang belum kukuh asas-asas bolasepak mereka. – Jika sentuhan pertama tidak kemas , kawalan bola sentiasa liar, hantaran jauh tidak tepat, penguasaan bola (ball mastery) lemah, mudah hilang bola dan “tackel” yang tidak jitu, bagaimana mampu untuk menjadi ahli pasukan yang baik? Lihat model program pembangunan Ajax Amsterdam dan juga Manchester United – keselesaan dengan bola adalah fokus utama mereka.
4. MENTALITI PEMAIN: Banyak pengurus-pengurus pasukan sekarang yang mengeluh tentang sikap dan mentaliti yang ditunjukkan oleh pemain-pemain mereka. Walaupun bertaraf “profesional” kebanyakan besar pemain-pemain terus bersikap amator . Antara keluhan-keluhan pengurus ialah pemain-pemain menganggap dengan terdaftarnya nama mereka dalam skuad, mereka kira mereka sudah berjaya. Tiada usaha lain dilakukan selain dari datang latihan dan mengharapkan diturunkan dalam kesebelasan utama – sama seperti zaman amator dulu.
Salah pemain? Tidak sepenuhnya. Budaya di Malaysia ialah di mana persatuan bolasepak tidak memantau pemain-pemain di luar waktu latihan/perlawanan. Pemain-pemain menjalani kehidupan seharian mereka tanpa sebarang panduan atau rujukan. Setahu saya, tidak pernah ada sebarang program pendidikan atau bimbingan untuk pemain-pemain profesional. Ramai pemain-pemain yang tidak faham maksud “profesional” sepenuhnya selain dari dibayar untuk bermain. Ramai juga yang tidak memahami isi kandungan kontrak mereka, serta peraturan peraturan FAM mengenai status pemain dan sebagainya.
5.FAM: Sebagai ahli gabungan FIFA, sudah tentu FAM akur sepenuhnya dengan statut FIFA. Sebagai contoh, jawatan-jawatan kuasa yang ditubuhkan oleh FAM, hampir semuanya adalah mengikut statut FIFA, kecuali yang tidak berkenaan sahaja. Itulah yang sepatutnya. Tujuan FIFA ialah untuk memastikan keseragaman amalan/operasi di kalangan ahli-ahlinya.
Apa yang tidak terkandung di dalam statut FIFA ialah KUALITI perlaksanaan garispanduan yang diberikan. Itu terletak sepenuhnya di atas bahu negara ahli. Selepas setiap mesyuarat Kongres atau Exco atau JK, keputusan akan dilepaskan kepada sekretariat FAM untuk dilaksanakan. Di sinilah banyak timbulnya permasalahan dan juga cabaran kerana ada kalanya apa yang dibincangkan di dalam mesyuarat dan isu-isu perlaksanaan adalah berbeza. Bukan sahaja ahli-ahli majlis FAM sentiasa berubah-ubah, kakitangan sekretariat pun begitu juga. Dicampur pula dengan kesibukan kakitangan sekretariat yang terpaksa memastikan liga berjalan lancar dan juga supaya program pasukan kebangsaan tidak terbantut. Akhirnya, apa yang berlaku ialah tindakan yang diambil ialah dengan melakukan perkara yang selesa dilakukan tahun demi tahun, jadi hasil yang didapati pun hampir sama tahun demi tahun.
Kelima-lima maklumbalas di atas adalah antara contoh-contoh bagaimana sistem bolasepak kita terperangkap di dalam zon selesa. Tidak salahnya berada di dalam zon selesa kerana ia memberikan kita kestabilan, lebih keyakinan serta kesinambungan. Dalam konteks mencari kemajuan dan kejayaan, zon selesa pula merupakan musuh utama. Kita perlu keluar dari tarikan zon selesa dan menerobos dengan mencari pendekatan-pendekatan baru yang lebih sesuai. Menjadi tanggungjawab semua yang terlibat dalam sistem bolasepak Malaysia untuk membebaskan kita dari belenggu ini dan inisiatif pertama perlulah dimulakan oleh FAM.


